Potensi Besar Bisnes Jersi Retro Bola Sepak di Malaysia
Ketahui potensi besar bisnes jual jersi klasik bola sepak di Malaysia dan Asia Tenggara. Pelajari dari kejayaan Classic Football Shirts yang berjaya menakluki pasaran jersi di Eropah—dan akan datang.
Pada tahun 2006, dua orang pelajar University of Manchester, England, yang merupakan peminat tegar bola sepak, berdepan dengan masalah. Mereka mahu mendapatkan jersi retro—khususnya jersi 1990 Jerman Barat yang asli—tetapi tidak dapat menjumpainya di mana-mana. Offline mahupun online.
“Kami memang suka beli jersi baru setiap tahun. Tapi nak cari jersi retro memang susah,” kata Doug Bierton dan Matthew Dale dalam laman sesawang kedai mereka. “Lepas buat kajian, rupanya bukan kami berdua sahaja ada masalah ini. Ramai sebenarnya. Masa itulah Classic Football Shirts (CFS) ditubuhkan.”
Pada minggu yang mereka sepatutnya mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan akhir semester, Bierton dan Dale buat benda lain. Mereka mula mencari, membeli dan menjual jersi-jersi retro di classicfootballshirts.co.uk.
“Kami menggunakan sepenuhnya duit pinjaman pelajaran, kad kredit, overdraft, dan membeli sejumlah besar jersi bola sepak pada harga kira-kira £10,000," kata Bierton, salah seorang pengasas CFS. Untuk mempromosikan jersi-jersi ini, Dale menggunakan baki wang dalam akaun simpanannya untuk membeli slot iklan dalam beberapa majalah bola sepak—mendapatkan pelanggan pertama mereka dengan cara lama. "Kami fikir kalau kami boleh jual sepuluh jersi sehari, itu dah cukup hebat," kata Bierton.
Potensi bisnes jersi retro bola sepak
Sasaran jualan: 10 pesanan jersi sehari. Rupa-rupanya sasaran Bierton dan Dale meleset. “Lima belas bulan selepas CFS beroperasi, setiap bilik apartmen kami dah penuh dengan rel baju. Setiap hari, kerja kami adalah bawa seguni besar penuh dengan pesanan jersi dan hantar ke pejabat pos.”
Walaupun kedua-duanya merupakan penyokong Manchester United, Bierton dan Dale perlu berterima kasih kepada Manchester City atas kejayaan bisnesnya. “Jersi Joe Royle Man City League Cup Final laku keras. Begitu juga dengan jersi Johan Cruyff Washington Dips.”
Sejak hari pertama berniaga, CFS sudah mencatatkan keuntungan. Sehingga kini, mereka telah menjual lebih daripada enam juta jersi tanpa satu sen pun suntikan modal dari pelabur luar.
Sehinggalah datangnya pelaburan berjumlah RM181.4 juta dari The Chernin Group—pelabur sama yang membeli The Athletic (kini telah dijual kepada The New York Times Company).
Dan menurut sumber, CFS mencatatkan pendapatan sebanyak RM116.1 juta, dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.4 juta pada tahun kewangan 2022. Untuk tahun kewangan 2023, pendapatan meningkat kepada RM146.5 juta. Keuntungan sebelum cukai juga meningkat kepada RM14.4 juta.
Rekod kewangan yang cemerlang ini bukan satu-satunya sebab The Chernin Group melabur kepada CFS.
Ini kerana model bisnes CFS mempunyai kelebihan-kelebihan berikut:
Hanya bersaing dengan eBay
Bola sepak mempunyai berbilion-bilion peminat seluruh dunia
Mempunyai permintaan dan inventori tanpa terhad.
Dalam banyak-banyak kelebihan, yang nombor tiga paling mengujakan. Kenapa?
Sebab, setiap tahun kelab akan keluarkan 2-3 rekaan jersi baharu. Di England sahaja ada 92 kelab. Darab dengan 3 jersi baharu setiap tahun. Maknanya di England sahaja, ada 276 produk baharu yang CFS boleh jual.
“Itu belum masuk 20-30 liga lain lagi dari seluruh dunia. Belum cerita lagi pasukan kebangsaan, atau bola sepak wanita. Setiap tahun CFS boleh tambah beribu-ribu jersi baharu dalam inventori. Rekaan jersi retro pun dah cukup banyak,” kata Bierton.
Peluang untuk Malaysia?
Bagi peminat niche bisnes sukan seperti anda, kejayaan CFS pasti mengundang soalan: bolehkah model bisnes CFS ditiruvasi di Malaysia (dan Asia Tenggara)?
Mari kita tengok pain points peminat jersi retro di Asia Tenggara:
1. Kekurangan pesaing dan inventori terhad
Di Malaysia sendiri, keselesaan Al Ikhsan (melalui Football Republic) sebagai satu-satunya peruncit besar jersi retro menyebabkan mereka tiada motivasi untuk menambah inventori. Di kedai online mereka, Al Ikhsan hanya menawarkan tujuh jersi retro (4 jersi Malaysia, 3 jersi Liverpool). Sedangkan jumlah jualan jersi retro ciplak di Shopee mencecah ribuan pesanan bagi satu rekaan.
2. Kos penghantaran mahal
Bayangkan anda mahu membeli jersi home retro Arsenal 2005. Jika anda mahukan versi replika ciplak, anda ada banyak pilihan di Shopee. Tetapi jika anda mahukan versi replika original, pilihan anda cuma satu: pesan dari penjual di Eropah dan bayar kos penghantaran yang mahal.
3. Pasaran yang fragmented
Jika ada pun orang terdekat yang menjual jersi replika original, kebanyakannya berpecah-pecah dan beroperasi di platform pilihan masing-masing. Sebagai pembeli, bayangkan anda kena search satu Internet hanya untuk membeli jersi retro vs search di satu kedai online sahaja untuk semua jersi retro.
Yang mana satu lagi senang?
Permintaan jersi retro di Malaysia
Pain ponts belum diselesaikan lagi. Check.
Bagaimana pula permintaan sedia ada dalam keadaan pasaran sekarang?
Untuk menjawab soalan ini, saya mendapatkan pandangan dari Tuan Nurazhar Mohd Zin, pemilik channel Goaldigger di TikTok. “Permintaan memang ada. Cuma ia bergantung kepada jumlah koleksi. Semakin tinggi jumlah koleksi anda, semakin tinggi permintaan yang anda akan dapat. Secara jujur, koleksi saya tak sebanyak collector yang lain.”
Sebagai pengumpul jersi original, Nurazhar mempunyai impian untuk menambah lagi koleksinya. “Saya mempunyai pelan jangka masa pendek dan panjang untuk mengembangkan jenama Goaldigger saya,” katanya.
Kandungan saluran TikTok Nurazhar cukup santai. Berbekalkan iPhone, dia akan menyapa orang awam yang memakai jersi retro dan bersembang tentang sejarah jersi tersebut. “Sebelum buat channel TikTok sendiri lagi, saya dah biasa menyapa dan bersembang dengan sesiapa yang memakai jersi rare,” tambahnya lagi.
Cabaran bisnes jersi retro
Mana-mana pemain industri baharu yang ingin meniruvasi model bisnes CFS di Malaysia harus menangani ‘kanser’nya terlebih dahulu: lambakan jersi tiruan.
CFS mungkin bernasib baik kerana beroperasi di negara dan benua yang tegas menguatkuasakan undang-undang hakcipta. Tetapi di Malaysia (dan seantero Asia Tenggara), lain ceritanya.
Permintaan yang tinggi, proksimiti yang dekat dengan pengilang di China dan Thailand, serta kesedaran pengguna yang rendah, membuatkan jersi tiruan dijual secara terbuka dan berleluasa. Offline mahupun online. Di Petaling Street mahupun Shopee.
Tahap kansernya sangat parah sehinggakan pengeluar rekaan jersi tempatan sendiri menjadi mangsa. Pengasas bersama EFS, jenama fesyen sukan tempatan, Tuan Ikhlas Mat Ariffin merupakan salah satu mangsanya. “Sembang pasal barang copy ni, jersi antara benda paling mudah kena copy. So apa tugas kita untuk banteras industri copy ni? Cubalah berhenti beli barang copy. Itu je. Simple.”
Paling penting, sasaran pelanggan mesti diperluaskan sehingga ke seluruh Asia Tenggara, jika tidak seluruh Asia Pasifik.
Akhir sekali, teras bisnes mesti dibuat dalam kedai online dahulu. Selepas jualan online stabil, barulah perluaskan ke pop-up store.
Jersi sebagai fesyen
Sejak Kim Kardashian dan Drake menggayakan jersi bola sepak dalam fesyen seharian mereka, persepsi terhadap jersi telah berubah. Sasaran pelanggan bisnes jersi kini bukan lagi kepada peminat bola sepak sahaja—malah kepada seluruh peminat fesyen.
“Satu jersi dari kelab Serie D Itali bernama Boreale (gambar bawah)pernah habis terjual di satu pop-up store kami di New York sebab orang sana suka rekaan warna merah jambu dan ungunya. Jersi sekarang dah jadi streetwear. Orang yang tak minat bola sepak pun nak beli kalau rekaannya cantik,” jelas Bierton.
“Saya berpengalaman hampir 10 tahun di industri fesyen untuk jenama seperti Michael Kors, Victoria Secret, Laura Ashley dan Adidas. Di sana jugalah saya kerap menggayakan jersi dalam koleksi saya ketika bekerja sehingga menjadi bualan kerana rekaannya,” cerita Nurazhar pula.
Jersi bola sepak telah melalui perjalanan jauh. Bermula dengan cop ‘pakaian selekeh di kenduri’ kepada streetwear, bisnes jersi mempunyai peluang pendapatan cukup besar untuk dikaut—di Asia Tenggara terutamanya.
Indonesia, misalnya, menyumbang 7,000 carian sebulan kepada classicfootballshirts.co.uk.
Jumlah carian sebulan di Google untuk kata kunci ‘jersi’ di empat ekonomi terbesar ASEAN
Indonesia: 74,000
Malaysia: 12,100
Singapura: 3,600
Thailand: 2,900
Di sebalik peluang yang besar, masalah jersi tiruan akan terus merencatkan potensi pertumbuhan bisnes ini di Asia Tenggara. Tapi kalau difikir-fikir balik—bisnes apa yang tak ada masalah?
Follow saluran kandungan Tuan Nurazhar, Goaldigger:
Follow kedai fesyen dan barangan sukan Tuan Ikhlas, EFS:
Jika anda suka dengan kupasan ini, sila share dengan kawan dan keluarga.
Sukan Khabar adalah newsletter untuk anda yang suka membaca perspektif bisnes dalam sukan. Jika ada belum melanggan Sukan Khabar, saya jemput anda untuk daftar dan menerima kandungan eksklusif.