Ekonomi Di Sebalik Sukan Olimpik
Bagaimana Los Angeles muncul satu-satunya hos Sukan Olimpik yang buat untung dan senarai ganjaran akan diterima atlet Olimpik sekiranya memenangi pingat emas.
Sukan Khabar adalah newsletter untuk anda yang suka membaca perspektif bisnes dalam sukan. Jika ada belum melanggan Sukan Khabar, saya jemput anda subscribe untuk menerima kupasan bisnes sukan setiap pagi Jumaat.
Pada malam 12 Mei 1970, International Olympic Committee (IOC) mengumumkan Montreal sebagai hos Sukan Olimpik 1976.
Dalam ucapan kemenangannya, Datuk Bandar Montreal, Jean Drapeau, dengan bangganya, memberitahu satu dunia:
“Kebarangkalian Sukan Olimpik Montreal akan mengalami defisit ibarat kebarangkalian lelaki boleh mengandung.”
Dalam erti kata lain, Drapeau berkata kebarangkalian Montreal untuk rugi bila menjadi hos Sukan Olimpik adalah mustahil.
Janji Drapeau meleset sama sekali.
Datuk Bandar Montreal itu menganggarkan kos pembinaan kompleks Stadium Olimpik baharu berjumlah RM578 juta. Tetapi selepas siap, kompleks itu memakan kos RM7 bilion — 1,211% lebih besar dari kos jangkaan. Ini rekod kerugian hos Sukan Olimpik yang paling besar dalam sejarah. Sehingga kini.
Kerajaan Quebec terpaksa mengambil masa 30 tahun untuk membayar hutang ini. Sebahagian besarnya dibayar dengan cukai tembakau. Digelar sebagai The Big O kerana bentuknya seperti huruf ‘O’, rakyat Quebec dengan sinis memanggil Stadium Olimpik Montreal sebagai ‘The Big Owe’ — kerana hutang besar yang perlu ditanggung dengan duit cukai mereka.
Kos menganjurkan Sukan Olimpik
Bila bercakap tentang kesan negatif menjadi hos Sukan Olimpik, Montreal 1976 pasti akan menjadi kes kajian utama.
Selepas kes Montreal 1976, hampir semua negara takut menjadi hos Sukan Olimpik.
Los Angeles merupakan satu-satunya bandar yang menawarkan diri untuk menjadi hos Sukan Olimpik 1984. Ini membolehkan LA ‘menekan’ IOC supaya mendapat terma yang lebih memihak kepada mereka. Tetapi yang paling penting adalah, LA boleh menggunakan stadium dan infrastruktur sedia ada — berbanding membelanjakan berbilion-bilion USD untuk meyakinkan IOC. Ditambah pula dengan pendapatan siaran TV yang meningkat pada era 80-an, ini menjadikan LA satu-satunya hos Sukan Olimpik yang mencatatkan keuntungan.
Berapa jumlah keuntungannya? RM1 bilion.

Kejayaan Los Angeles ini memberikan semula keyakinan kepada negara-negara lain untuk menjadi hos Sukan Olimpik. Semasa bidaan penganjuran Sukan Olimpik 1988, hanya dua negara yang bertanding. Semasa bidaan edisi 2004, 12-negara bertanding.
Tetapi nak membida sahaja pun, ada kosnya.
Biasanya kos ini berjumlah antara RM233 juta hingga RM466 juta. Tokyo misalnya, membelanjakan RM700 juta semasa cubaan gagal mereka untuk menjadi hos edisi 2016, dan RM350 juta semasa bidaan edisi 2020. Toronto pula menarik diri daripada membida hak penganjuran edisi 2024 kerana tak mampu membayar kos bidaan RM280 juta.
Persoalannya sekarang, kos-kos ini untuk membayar apa? Jawapannya — untuk membayar kos merancang, melantik konsultan, mengajurkan acara tunjuk minat dan kos perjalanan.
Selepas menang bidaan, setiap hos akan membelanjakan berbilion-bilion USD untuk:
Bersedia menerima influks kemasukan lebih 10,000 atlet dan pegawai dari ratusan negara.
Membina fasiliti khas seperti velodrom, perkampungan Olimpik, serta stadium yang cukup besar dan selamat untuk menganjurkan upacara pembukaan dan penutup.
Menyediakan minimum 40,000 bilik hotel.
Menaiktaraf jalan, jaringan metro dan lapangan terbang (kos akan naik jika anda perlu membina yang baharu)
Sekuriti & pencegahan penyakit (Tokyo membelanjakan RM13 bilion untuk pencegahan COVID-19 sahaja)
Membersih dan menyelenggara alam sekitar mengikut spesifikasi IOC.
Itu kos sebelum Olimpik. Kos selepas menganjurkan Olimpik juga perlu diambil kira. Stadium perlu diselenggara setiap tahun. Stadium Olimpik ‘Sarang Burung’ Beijing misalnya, memakan kos penyelenggaraan RM47 juta setahun. 90% fasiliti Sukan Olimpik Athens 2004, yang menjadi punca Greece bankrap, telah rosak dan terbiar.

Dan pada tahun ini, kerajaan Quebec melaporkan The Big O di Montreal memerlukan kos RM4 bilion untuk menggantikan bumbung stadium. Berita ini sangat menjengkelkan rakyat Quebec, sehinggakan mereka menyuruh kerajaan meruntuhkan terus stadium tersebut, buat selama-lamanya.
Faedah menjadi hos
Apakah faedah menjadi hos Sukan Olimpik?
Kalau mengikut data, kos penganjuran selalunya tidak pernah mengikut bajet. Pendapatan pula hanya mencakupi sebahagian kecil kos penganjuran. Jadi untuk menenangkan rakyat, kerajaan hos biasanya akan menyebut impak-impak yang tidak empirikal. Contohnya:
Akan mencipta ribuan peluang pekerjaan.
Akan menarik kedatangan jutaan pelancong.
Akan menyuntik pertumbuhan ekonomi.
Tetapi berdasarkan kajian, impak-impak ini boleh diragui. Dalam kajian impak selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk 2002 di Salt Lake City, sebagai contoh, hanya 7,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta — jauh berbeza daripada angka 70,000 yang dijanjikan.
Ahli ekonomi juga mendapati impak Sukan Olimpik kepada sektor pelancongan tidaklah sekonkrit yang dicanang-canangkan. Barcelona (1992), Sydney (2000) dan Vancouver (2010) menyaksikan ada peningkatan kedatangan pelancong selepas Sukan Olimpik. Tetapi kesan sama tidak ditemui oleh Beijing (2008), London (2012) dan Salt Lake City (2002).
Hujah penganjuran Sukan Olimpik akan menyuntik pertumbuhan ekonomi pula boleh disangkal oleh Athens (2004), Sochi (2014) dan Rio de Janeiro (2016). Kerajaan negeri Rio de Janeiro sampai perlu dana bailout RM4.2 bilion daripada kerajaan pusat untuk mengelak daripada bankrap selepas Sukan Olimpik 2016.
Perkara sama telah dirasai oleh penduduk Paris, tuan rumah edisi 2024, sehingga mereka berkempen di TikTok — menyeru pelancong supaya jangan datang ke Paris untuk menyaksikan Sukan Olimpik.
Dalam satu video, salah seorang penduduk Paris, Miranda Starcevic, memberitahu ini kesan penganjuran Sukan Olimpik kepada penduduk Paris:
Pelajar dipaksa keluar dari rumah sewa untuk memberi ruang kepada pekerja Sukan Olimpik.
Tambang pengangkutan awam naik sekali ganda.
Sistem metro menjadi dari tenat kepada semakin tenat.
Golongan gelandangan diangkut dan dibiarkan bergelandangan 100km di luar Paris.
Penduduk perlu menunjukkan kod QR untuk memandu kereta sekitar Paris semasa Sukan Olimpik berlangsung.
Duit cukai penduduk Paris digunakan untuk perbelanjaan Sukan Olimpik, bukannya untuk memperbaiki kemudahan awam.
Memaksa penduduk Paris untuk ‘berkampung’ sementara di luar Paris semasa Sukan Olimpik berlangsung.
Imbuhan kepada atlet
Beralih ke cerita yang lebih positif. Pernah tak anda tanya — berapa duit yang diterima oleh atlet sekiranya menang pingat Olimpik?
Jawapannya — bergantung mengikut negara.
Kalau anda tak tahu, IOC tak bayar sesen pun kepada atlet yang menyertai Olimpik. Ini walaupun IOC mengambil 50-60% pendapatan hak siaran TV daripada hos. IOC cuma menanggung kos perjalanan, penginapan, makanan dan minuman atlet sahaja. IOC juga tidak akan memberi ganjaran wang tunai sekiranya anda menang pingat.
Jika anda menang pingat Olimpik, yang akan memberi ganjaran wang tunai hanyalah dua pihak sahaja:
Negara anda dan;
World Athletics.
World Athletics merupakan satu-satunya badan organisasi sukan dunia yang akan memberikan ganjaran wang tunai kepada atletnya. Pemenang pingat emas Olimpik dalam acara olahraga di Paris 2024 nanti akan menerima wang tunai RM233,148 (USD50,000) dari World Athletics.
Pemenang pingat perak dan gangsa pula hanya akan menerima ganjaran wang tunai dari World Athletics bermula edisi 2028 di LA nanti.
Jika anda bukan atlet sukan olahraga, tetapi menang pingat, berdoalah negara anda akan memberikan ganjaran wang tunai. Seperti negara dalam senarai ini:
Anda juga boleh dapat lebih banyak, jika negara anda bermurah hati. Contohnya:
Indonesia: Selepas menang pingat emas Tokyo 2020, pemain badminton Greysia Polii dan Apriyani Rahayu mendapat ganjaran wang tunai RM1.47 juta beserta 34 hadiah lain — antaranya gerai bakso, rumah dan 5 ekor lembu.
Kazakhstan: Selain wang tunai, pemenang pingat emas di Paris nanti akan mendapat habuan pangsapuri 3-bilik. Pemenang pingat perak: pangsapuri 2-bilik. Pingat gangsa: pangsapuri 1-bilik.
Malaysia: Selain wang tunai RM1 juta dan pencen seumur hidup RM5,000 sebulan dari kerajaan, pemenang pingat emas di Paris nanti juga akan menerima kereta Chery SUV Tiggo 8 Pro, kondo mewah RM1 juta di Setia Alam, dan tambahan RM1 juta dari Senheng.
Disebalik realiti ekonomi ini kepada negara hos dan atlet, Sukan Olimpik tetap akan menjadi acara yang dinanti-nantikan di seluruh dunia.
Saya, seperti biasa, akan menonton upacara pembukaan, acara olahraga, badminton, renang, terjun dan lumba basikal. Entah mengapa, acara bola sepak di Olimpik tidak menarik perhatian saya.
Anda pula bagaimana? Apa acara Olimpik kegemaran anda dan kenapa? Beritahu saya dengan menekan butang komen di bawah:
Jika anda suka dengan kupasan ini, sila share dengan kawan dan keluarga.
Rujukan:
Council on Foreign Relations. "Economics of Hosting the Olympic Games." CFR, https://www.cfr.org/backgrounder/economics-hosting-olympic-games#chapter-title-0-7. Accessed 26 July 2024.
CBC News. "Quebec's 'Big Owe' Stadium Debt Is Over." CBC, 12 Nov. 2006, https://www.cbc.ca/news/canada/montreal/quebec-s-big-owe-stadium-debt-is-over-1.602530. Accessed 26 July 2024.
Safronova, Valeriya. "Paris Olympics Embrace TikTok Culture." The New York Times, 14 June 2024, https://www.nytimes.com/2024/06/14/style/paris-olympics-tiktok.html. Accessed 26 July 2024.
CBS News. "2024 Olympics in Paris: Athletes, Medals, and Prize Money." CBS, 14 June 2024, https://www.cbsnews.com/news/2024-olympics-paris-athletes-medals-prize-money/. Accessed 26 July 2024.